Shahrizat sah lawan Rafidah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang sudah membulatkan tekad untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti bulan depan, menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan bagi menentukan masa depan pergerakan itu.

"Saya terima pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno... saya akan tetap bertarung (untuk merebut jawatan itu).

"Sekarang semuanya terserah kepada perwakilan untuk buat keputusan demi masa depan Wanita Umno... saya pulangkan kepada mereka seluruh amanah, tanggungjawab dan hak untuk menentukan masa depan Wanita Umno.


"Saya mengambil keputusan ini sebagai menghargai kepercayaan dan amanah yang diberikan Wanita Umno kepada saya, (Datuk) Kamilia (Ibrahim) pun sudah menang (tanpa bertanding) Naib Ketua Wanita Umno)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Wanita Umno, di sini semalam.

Sidang akhbar ringkas bagi mengesahkan Kamilia yang juga Exco Wanita, menang tanpa bertanding untuk menggantikan tempatnya sebagai naib ketua pergerakan itu, diadakan sebelum mesyuarat Exco Wanita Umno yang dipengerusikan Tan Sri Rafidah Aziz.

Bagaimanapun, Shahrizat tidak menghadiri mesyuarat berkenaan yang bermula jam 3 petang kerana terpaksa bergegas untuk menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya.

Ditanya mengenai peluangnya merebut jawatan itu, Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri berkata, beliau yakin perwakilan kini berfikiran terbuka dan matang dalam membuat keputusan bagi menentukan apa yang terbaik untuk kepemimpinan parti.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku (pada pemilihan), cuma saya minta supaya semua pihak menjalankan kempen secara berhemah dengan menghormati calon serta perwakilan.

"Saya juga minta, apa pun keputusan selepas perhimpunan agung nanti, seluruh pergerakan wanita dapat merapatkan balik hubungan kerana jika semua ahli menghormati orang lain, silaturahim tidak akan putus," katanya.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas keputusan Shahrizat untuk mencabarnya berkata: "Tiada apa nak komen kerana sekarang semua sudah tahu keputusan beliau untuk bertanding".

"Saya tiada masalah, apatah lagi dengan Naib Ketua (Shahrizat). Tiada masalah dengannya... susahlah kita dalam politik kalau ada hal peribadi kerana saya memang tidak pernah ambil masalah (Shahrizat bertanding).

"Dia (Shahrizat) tidak datang pun hari ini, saya tidak tahu, dia pun tak beritahu. Jawatan bukannya boleh bawa sampai mati, buat apa nak menyusahkan diri berebut jawatan. Kita pun tak tentu sama ada sempat pegang jawatan itu," katanya.

Rafidah berkata, fikirannya kini sudah tertutup untuk membincangkan mengenai pemilihan parti dan minta semua ahli supaya memberi fokus kepada gerak kerja membantu jentera pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, keutamaan baginya kini adalah untuk membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang dijadualkan pada 7 April depan

Tahniah Datuk!!

TAHNIAH !!

YOU DESERVED IT!!

Syabas dan setinggi tinggi penghargaan kami untuk YBhg.Datuk Kamillia Ibrahim diatas kemenangan tanpa bertanding. Ini kehendak dan keizinan dari Allah SWT yang memberikan kita petunjuk bahawa nawaitu Datuk begitu ikhlas.

Kemenangan Datuk sebagai pemimpin no.2 memberikan isyarat bahawa akan bermulalah penghijrahan dan pembaharuan dalam wanita.

Di Doakan dengan keizinan Allah SWT gandingan pemimpin utama pilihan Datuk nanti akan menguatkan lagi nawaitu demi memperjuangkan wanita.

Pembaharuan yang kami pinta hanyalah perjuangan tulus yang menyeluruh kepada akar umbi,bukan kepada beberapa pihak tertentu yang berkepentingan sendiri.Wanita UMNO tidak lagi sanggup dimanipulasi oleh segelintir pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri sehingga tidak menampakan erti perjuangan yang sebenar sehingga sanggup membiarkan kami diperingkat akar umbi dicemuh serta dipanggil MAKCIK UMNO terutama pembangkang yang konon nya wanita UMNO tidak ikhlas dalam perjuangan dan tidak berkualiti dimata mereka. Apatah lagi dengan pergolakan politik yang tidak menentu kita harus insaf bahawa masyarakat telah memberikan isyarat kepada kita meminta kita berubah dan merenung kembali perjuangan wanita selama ini.

Wanita merupakan tiang seri yang boleh berdiri teguh diminta menerokai setiap perjuangan serta sanggup menongkah ranjau duri dan cabaran tanpa ada tawar menawar. Perwakilan harus memilih bakal calon berpaksikan perjuangan disisi Allah SWT bukan berpaksikan syaitan. Dalam pemilihan tidak ada kawan dan lawan yang penting keikhlasan dalam perjuangan dengan nawaitu yang satu tanpa ada kepentingan keperibadian.

Terimalah kata kata kami ini yang begitu ikhlas memperjuangkan wanita tanpa sedikit pun menyindir atau menghina seseorang. Yang baik itu datang nya dari Allah SWT dan yang tidak baik itu datang nya dari kami insan yang lemah yang memerlukan petunjuk mu ya Allah!!

Terima kasih, Wassalam.

Seikhlas kata dari,

Nahar Ahmad PJK
Ketua Wanita UBKR

Tindakan Pemimpin Pakatan satu penghinaan

KANGAR: Sifat derhaka pemimpin Pakatan Rakyat di Perak bukan lagi menghina bangsa Melayu malah turut menghina perlembagaan serta rukunegara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan derhaka pemimpin pembangkang terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bukan saja tidak pernah terjadi dalam sejarah, tetapi dianggap sesuatu yang tidak patut berlaku sama sekali.

"Bayangkan, orang sudah suruh berhenti (jawatan Menteri Besar) tetapi masih tidak mahu berhenti. Selepas itu, sembah derhaka pula kepada sultan. Esok (hari ini), Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dikatakan mahu saman sultan pula. Ini suatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah.
- Dikirim oleh Rashidah Aala

Kursus IKIT untuk Ibu Tunggal

Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Selangor akan menganjurkan Kursus IKIT (Kursus Taska) untuk Ibu Tunggal yang berumur dari 18 tahun sehingga 40 tahun. Tarikh kursus akan diberitahu kelak. Sesiapa yang berminat sila hubungi Pen S/U Wanita segera.

Kursus Sulaman Susup

Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Selangor akan mengadakan Kursus Sulaman Susup pada 18 Februari 2009 pada jam 8.30 pagi hingga 5 petang bertempat di tingkat 7 Plaza Perangsang, Shah Alam. Wanita bahagian Kota Raja akan menghantar penyertaan seramai 10 orang peserta. Puan-Puan yang berminat bolehlah menghubungi Pen S/U Wanita.

GOTONG-ROYONG PEJABAT WANITA UMNO BAHAGIAN KOTA RAJA

Program gotong-royong membersihkan pejabat Wanita di UMNO Bahagian Kota Raja akan dijalankan pada 09 Februari 2009 (Isnin) jam 9.00 pagi bersempena dengan pengubahsuaian Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja baru-baru ini.Di samping itu progam bacaan Yassin juga akan dijalankan bersama agenda ini.

Puan-puan dan rakan-rakan sekalian, bagi merapatkan lagi silaturrahim sesama kita jamuan makan adalah secara 'potluck'.

Semoga
dengan kerjasama dari pihak puan-puan dapat memberkati majlis ini.

MAJLIS SOLAT HAJAT UNTUK RAKYAT PALESTIN

Wanita UMNO Bahagian Kota Raja akan menganjurkan Majlis Solat Hajat untuk rakyat Palestin (mangsa serangan zionis Israel). Seluruh saudara Islam dijemput meramaikan dan bersama-samalah kita mendoakan kesejahteraan buat saudara Islam kita di bumi Palestin yang ditindas dengan kejam oleh rejim zionis dan sekutunya juga buat seluruh penduduk Islam di bumi ini. Insyaallah.

Tarikh :- 08 Februari 2009
Tempat : - Masjid, Kg Bukit Naga
Masa : - 8.30 pagi

PROGRAM AMAL ANJURAN UMNO CAWANGAN SRI DAMAK

UMNO Cawangan Sri Damak akan mengadakan Program Amal Sumbangan Pakaian Terpakai yang akan diadakan diketepatan berikut:-

Tempat :- Dewan UMNO Sri Damak
Tarikh :- 07 Februari 2009
Masa :- 9.00 pagi hingga 2.00 petang.

Tuan/puan yang ingin menghulurkan sumbangan amat dialu-alukan.

Hala Tuju WANITA Melayu Muda Di Alaf Baru

Sesuai dengan peranan sebagai pelengkap atau ‘side kick’ dan menjadi penolong kepada lelaki, maka fungsi wanita bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan rumahtangga tetapi mempunyai pengaruh yang kuat di dalam ketentuan kekukuhan dan jatuh- bangun sesuatu bangsa dan generasi akan datang. Perkara tersebut adalah selaras dengan pepatah orang tua bahawa, “Tangan yang menghayun buaian itu bisa menggoncang dunia” . Ianya juga dapat dirumuskan apakala ditelusuri intipati Ayat 71 Surah At Taubah yang bermaksud:

“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang maa’ruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Keperluan Mewujudkan Visi Dan Melahirkan Kepimpinan Berwibawa

Sepertimana kebiasaan di dalam apa jua perkara, bagi menentukan ketepatan dan pencapaian sesuatu objektif, maka perkara pokok yang perlu diutamakan adalah untuk memastikan wujudnya suatu visi yang jelas. Visi yang menjadi matlamat halatuju itu hendaklah dapat dilihat secara terang dan diyakini secara total oleh teraju kepemimpinan/ barisan pemimpin dan seterusnya dikongsi oleh setiap warga organisasi atau perkumpulan berkenaan dengan penuh keyakinan, dedikasi dan komitmen.

Di dalam konteks ini, maka WANITA perlu merencanakan satu visi (create a vision) yang diukir oleh ‘visionary leaders’ di kalangan WANITA sendiri. Hanya mereka yang melahirkan suatu ‘master piece’ yang lahir dari ‘ketaksuban” (‘passion’) dan jelas tentang arahtuju dan matlamat yang ingin dicapai, akan bisa menularkan suatu ‘epidemik’ yang menerobos setiap lapis dan tapis lalu menunjang ke hati yang dipimpin. Perkara tersebut telah seringkali dibuktikan oleh hukum fizik dan diperjelaskan oleh ‘ LAW OF ATTRACTION’ bahawa, “what the mind can perceive, can actually be achieved” . ‘ Man becomes what he thinks about’ dan “thoughts become things”.

Beberapa agenda yang sering menjadi bualan di kalangan kepimpinan WANITA kini di dalam menggariskan perencanaan bagi barisan WANITA Melayu muda alaf baru, antara lainnya termasuklah perkara-perkara berikut:-

WANITA dan pembangunan diri

Barisan pelapis WANITA kini perlu mempunyai kesedaran untuk membangunkan sakhsiah diri dan nilai peribadi, di samping mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan di dalam setiap lapangan yang diceburi; termasuk bidang pengurusan, pentadbiran atau professional. Mereka juga harus mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencipta kejayaan yang berterusan. WANITA hendaklah bersedia untuk berusaha dengan penuh gigih dengan memperkukuhkan iltizam, meningkatkan daya saing dan keupayaan diri di dalam menambahkan ilmu kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing serta melengkapkan diri dengan pengetahuan undang-undang yang relevan dalam kehidupan seharian mereka; seperti undang-undang keluarga, undang-undang pentadbiran, undang-undang perniagaan dan sivil. Dengan yang demikian itu, mereka bukan sahaja setakat menyediakan diri dengan ilmu berkaitan pembangunan kerjaya semata-mata, bahkan berupaya melahirkan generasi WANITA KENDIRI yang faham dan mampu mempertahankan diri, hak dan pendirian/ prinsip mereka dengan sewajarnya di dalam menghadapi cabaran dan dugaan akan datang.

WANITA Di Dalam Pentadbiran dan Arena Politik

Sejajar dengan peredaran masa dan pencapaian yang telah dicipta, maka masanya telah tiba untuk WANITA diberi lebih pengiktirafan melalui penglibatan di dalam penggubalan dasar, pentadbiran, politik, pendidikan, bahkan juga menerajui kepimpinan badan bukan kerajaan dan sektor korporat.

WANITA seharusnya diberi representasi yang sewajarnya dalam kepimpinan pentadbiran, politik dan pendidikan khususnya bilamana ratio pencapaian akademik di antara kaum lelaki dan wanita adalah tidak jauh berbeza; maka sewajarnyalah kaum wanita diberi peluang representasi yang sewajarnya seiring dengan kaum lelaki. Adalah diperhatikan, meskipun tenaga kerja (work force) di dalam pentadbiran awam dan swasta telah banyak diisi oleh kaum wanita, namun jawatan-jawatan tertinggi dalam pentadbiran masih lagi dimonopoli oleh kaum lelaki. Senario ini wujud disebabkan perspektif sempit masyarakat yang menganggap bahawa wanita tidak boleh memimpin di peringkat tertinggi dek kerana sifatnya yang mudah dipengaruhi oleh emosi dan tidak boleh membuat pertimbangan yang rasional. Namun, pandangan sinis ini harus diketepikan memandangkan wanita Melayu muda kini telah dibuktikan lebih berilmu, luas pertimbangan, dapat berfikir dengan bijaksana dan sangat berdisiplin di dalam mematuhi peraturan dan undang-undang.

Penglibatan WANITA Professional dalam politik juga harus dipertingkatkan bagi memastikan aspirasi kerajaan dapat direalisasikan. Pegawai tinggi kerajaan wanita yang telah mengumpul pengalaman dan pengetahuan sepanjang tempoh perhidmatan di atas biaya rakyat seharusnya digalakkan untuk bergelanggang dan memberi input dan motivasi kepada penggerak politik di peringkat akar umbi, demi mengoptimakan manafaat ilmu dan kepakaran pegawai berkenaan , dengan tidak membatasinya setakat peringkat organisasi tertentu sahaja.

Wanita dan Pendidikan

Naluri wanita yang bersifat sebagai pendidik yang didasarkan kepada naluri keibuan semulajadi adalah sangat sinonim dengan pendidikan. Kaum wanita yang bijak dan berkebolehan untuk berfikir secara tajam dengan ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi, adalah merupakan aset negara. Mereka bukan sahaja membangunkan diri, bahkan juga berperanan besar dalam pembentukan generasi akan datang. Mereka ini berupaya membentuk masyarakat dan ahlinya yang mampan, berkualiti, berdaya saing dan mempunyai ketahanan yang tinggi. Ibu yang cemerlang akan berperananan sebagai ‘catalyst” yang melahirkan generasi yang gemilang dan terbilang.

Selaras dengan fitrahnya yang sangat sinonim dengan sumbangan wanita yang ‘melahirkan’ dan mendidik (nurturing) maka tidak salah sekiranya WANITA beraspirasi untuk melahirkan seorang Menteri Pendidikan Wanita yang pertama di Malaysia dalam tempoh mungkin tidak lebih dari 5 tahun akan datang.

Justeru itu adalah amat imperatif agar “budding personalities” di peringkat sekolah menengah dari kalangan pelajar-pelajar perempuan yang mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan dikenalpasti dan digarap, dibimbing dan dimotivasikan, khususnya melalui kaedah “mentor-mentee” oleh Pemimpin masa kini. Adalah wajar mereka diberi pendedahan kepada ilmu kepimpinan semenjak di alam pelajar sebagai gelanggang latihan sebelum bergelanggang di arena yang lebih besar. Peranan ini boleh dipikul oleh Persatuan-persatuan Pelajar seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Puteri Islam dan sebagainya khususnya di dalam mengenalpasti dan meningkatkan penglibatan remaja dan belia perempuan Melayu Islam dalam program-program yang boleh membentuk personaliti pemimpin generasi akan datang.

Wanita dan Kewangan

Wanita berkeupayaan sebagai pengurus kewangan yang baik disebabkan sifatnya yang berhati-hati dan teliti (meticulous) dalam perbelanjaan. Dengan mengambil institusi kekeluargaan sebagai kiasan, maka seorang wanita, ibu atau isteri adalah berperanan sebagai menteri kewangan keluarga. Sehubungan itu bukanlah sesuatu yang janggal apabila kerajaan mengiktiraf kesesuaian wanita di dalam memikul peranan tersebut dengan terlantiknya Y.M Tan Sri Dato’ Ungku Dr Zeti Akhtar Aziz Binti Ungku Abdul Aziz selaku Gabenor Wanita yang pertama di Malaysia.

Bagi maksud kesinambungan dan sebagai sokongan ke atas pengiktirafan tersebut, maka secara jelas WANITA meyakini kemampuan di dalam memberi sumbangan yang berkesan dan sekali gus mempengaruhi dan memutuskan dasar kewangan negara.

Kejayaan wanita sebagai ahli ekonomi yang berjaya bukanlah merupakan suatu fenomena baru, bahkan ianya telah terbukti di zaman Rasulullah SAW sendiri; dimana Saydatina Khadijah semasa hayatnya adalah merupakan seorang ahli perniagaan yang disegani, berjaya dan kaya raya. Beliau juga menjadi simbol isteri setia yang sanggup bekorban segala harta benda dan jiwa raga demi menegakkan perjuangan suaminya yang tercinta dalam membela agama Allah.

Contoh semasa yang dapat diketengahkan berkaitan persoalan ini ialah dengan mengarahkan pandangan ke Timur Tengah. Tatkala ekonomi Kuwait merudum disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia, telah lahir sebutir bintang di dunia kewangan dan perbankan Timur Tengah apabila seorang wanita Arab yang bernama Maha Khalid Al- Ghunaim berjaya membawa Kuwait keluar dari kemelut ekonomi dan membuktikan ketokohan berdasarkan aspek kepimpinan, visi dan ketajaman analisa dalam pengurusan ekonomi melalui Institusi Perlaburan Global Kuwait. Dan kini, ketokohan beliau yang hanya berusia 46 tahun telah diiktiraf oleh Majalah Kewangan Antarabangsa Forbes apabila tersenarai sebagai antara seratus wanita paling berkuasa di dunia untuk tempoh 2 tahun berturut-turut.

Kesimpulan

Secara umum, tiada banyak perbezaan yang berpaksikan ‘gender’ di antara wanita dan lelaki di dalam penentuan kegagalan dan kejayaan. Tiada kriteria khusus di dalam menentukan siapa yang lebih baik, melainkan ianya lebih dipengaruhi oleh faktor-faktor peribadi. Namun begitu, sebagai menetapkan hala tuju yang jelas, maka adalah mustahak untuk diwujudkan suatu visi yang nyata, supaya perancangan dan usaha dapat ditumpukan ke suatu arah yang khusus. Matlamat yang dinyatakan di sini bukanlah merupakan sesuatu yang ekslusif, tetapi sebagai memberi gambaran tentang aspirasi WANITA untuk tidak sahaja bertindak sebagai ‘penumpang’, tetapi untuk sama-sama ‘sebahu’ dengan kaum lelaki di arus perdana dan menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara secara lebih efektif dan adil.

Aspirasi yang didasarkan kepada kesesuaian fitrah dan kesedaran tersebut, walaubagaimanapun adalah tertakluk kepada sejauh mana peluang dibuka kepada WANITA untuk membuktikan kemampuan dan kesungguhan mereka di dalam merealisasikan rencana yang disusun. Bukanlah sesuatu yang mustahil dan menongkah arus apakala lahirnya Menteri- Menteri Kewangan dan Pendidikan Wanita Pertama di Malaysia di dalam tempoh terdekat. Cabaran pasti akan datang bertali arus dan bertubi-tubi, namun perjuangan yang diteraju oleh hati seorang pemimpin yang jujur dan penuh keikhlasan adalah merupakan semulia-mulia perjuangan yang akan dibantu Tuhan. InsyaALLAH.

Cik Hjh Nadzifah Binti Maarof
Pen S/U Wanita Kota Raja
Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya
Peguam Syarie Selangor & Wilayah Persekutuan