Hala Tuju WANITA Melayu Muda Di Alaf Baru

Sesuai dengan peranan sebagai pelengkap atau ‘side kick’ dan menjadi penolong kepada lelaki, maka fungsi wanita bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan rumahtangga tetapi mempunyai pengaruh yang kuat di dalam ketentuan kekukuhan dan jatuh- bangun sesuatu bangsa dan generasi akan datang. Perkara tersebut adalah selaras dengan pepatah orang tua bahawa, “Tangan yang menghayun buaian itu bisa menggoncang dunia” . Ianya juga dapat dirumuskan apakala ditelusuri intipati Ayat 71 Surah At Taubah yang bermaksud:

“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang maa’ruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Keperluan Mewujudkan Visi Dan Melahirkan Kepimpinan Berwibawa

Sepertimana kebiasaan di dalam apa jua perkara, bagi menentukan ketepatan dan pencapaian sesuatu objektif, maka perkara pokok yang perlu diutamakan adalah untuk memastikan wujudnya suatu visi yang jelas. Visi yang menjadi matlamat halatuju itu hendaklah dapat dilihat secara terang dan diyakini secara total oleh teraju kepemimpinan/ barisan pemimpin dan seterusnya dikongsi oleh setiap warga organisasi atau perkumpulan berkenaan dengan penuh keyakinan, dedikasi dan komitmen.

Di dalam konteks ini, maka WANITA perlu merencanakan satu visi (create a vision) yang diukir oleh ‘visionary leaders’ di kalangan WANITA sendiri. Hanya mereka yang melahirkan suatu ‘master piece’ yang lahir dari ‘ketaksuban” (‘passion’) dan jelas tentang arahtuju dan matlamat yang ingin dicapai, akan bisa menularkan suatu ‘epidemik’ yang menerobos setiap lapis dan tapis lalu menunjang ke hati yang dipimpin. Perkara tersebut telah seringkali dibuktikan oleh hukum fizik dan diperjelaskan oleh ‘ LAW OF ATTRACTION’ bahawa, “what the mind can perceive, can actually be achieved” . ‘ Man becomes what he thinks about’ dan “thoughts become things”.

Beberapa agenda yang sering menjadi bualan di kalangan kepimpinan WANITA kini di dalam menggariskan perencanaan bagi barisan WANITA Melayu muda alaf baru, antara lainnya termasuklah perkara-perkara berikut:-

WANITA dan pembangunan diri

Barisan pelapis WANITA kini perlu mempunyai kesedaran untuk membangunkan sakhsiah diri dan nilai peribadi, di samping mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan di dalam setiap lapangan yang diceburi; termasuk bidang pengurusan, pentadbiran atau professional. Mereka juga harus mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencipta kejayaan yang berterusan. WANITA hendaklah bersedia untuk berusaha dengan penuh gigih dengan memperkukuhkan iltizam, meningkatkan daya saing dan keupayaan diri di dalam menambahkan ilmu kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing serta melengkapkan diri dengan pengetahuan undang-undang yang relevan dalam kehidupan seharian mereka; seperti undang-undang keluarga, undang-undang pentadbiran, undang-undang perniagaan dan sivil. Dengan yang demikian itu, mereka bukan sahaja setakat menyediakan diri dengan ilmu berkaitan pembangunan kerjaya semata-mata, bahkan berupaya melahirkan generasi WANITA KENDIRI yang faham dan mampu mempertahankan diri, hak dan pendirian/ prinsip mereka dengan sewajarnya di dalam menghadapi cabaran dan dugaan akan datang.

WANITA Di Dalam Pentadbiran dan Arena Politik

Sejajar dengan peredaran masa dan pencapaian yang telah dicipta, maka masanya telah tiba untuk WANITA diberi lebih pengiktirafan melalui penglibatan di dalam penggubalan dasar, pentadbiran, politik, pendidikan, bahkan juga menerajui kepimpinan badan bukan kerajaan dan sektor korporat.

WANITA seharusnya diberi representasi yang sewajarnya dalam kepimpinan pentadbiran, politik dan pendidikan khususnya bilamana ratio pencapaian akademik di antara kaum lelaki dan wanita adalah tidak jauh berbeza; maka sewajarnyalah kaum wanita diberi peluang representasi yang sewajarnya seiring dengan kaum lelaki. Adalah diperhatikan, meskipun tenaga kerja (work force) di dalam pentadbiran awam dan swasta telah banyak diisi oleh kaum wanita, namun jawatan-jawatan tertinggi dalam pentadbiran masih lagi dimonopoli oleh kaum lelaki. Senario ini wujud disebabkan perspektif sempit masyarakat yang menganggap bahawa wanita tidak boleh memimpin di peringkat tertinggi dek kerana sifatnya yang mudah dipengaruhi oleh emosi dan tidak boleh membuat pertimbangan yang rasional. Namun, pandangan sinis ini harus diketepikan memandangkan wanita Melayu muda kini telah dibuktikan lebih berilmu, luas pertimbangan, dapat berfikir dengan bijaksana dan sangat berdisiplin di dalam mematuhi peraturan dan undang-undang.

Penglibatan WANITA Professional dalam politik juga harus dipertingkatkan bagi memastikan aspirasi kerajaan dapat direalisasikan. Pegawai tinggi kerajaan wanita yang telah mengumpul pengalaman dan pengetahuan sepanjang tempoh perhidmatan di atas biaya rakyat seharusnya digalakkan untuk bergelanggang dan memberi input dan motivasi kepada penggerak politik di peringkat akar umbi, demi mengoptimakan manafaat ilmu dan kepakaran pegawai berkenaan , dengan tidak membatasinya setakat peringkat organisasi tertentu sahaja.

Wanita dan Pendidikan

Naluri wanita yang bersifat sebagai pendidik yang didasarkan kepada naluri keibuan semulajadi adalah sangat sinonim dengan pendidikan. Kaum wanita yang bijak dan berkebolehan untuk berfikir secara tajam dengan ilmu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi, adalah merupakan aset negara. Mereka bukan sahaja membangunkan diri, bahkan juga berperanan besar dalam pembentukan generasi akan datang. Mereka ini berupaya membentuk masyarakat dan ahlinya yang mampan, berkualiti, berdaya saing dan mempunyai ketahanan yang tinggi. Ibu yang cemerlang akan berperananan sebagai ‘catalyst” yang melahirkan generasi yang gemilang dan terbilang.

Selaras dengan fitrahnya yang sangat sinonim dengan sumbangan wanita yang ‘melahirkan’ dan mendidik (nurturing) maka tidak salah sekiranya WANITA beraspirasi untuk melahirkan seorang Menteri Pendidikan Wanita yang pertama di Malaysia dalam tempoh mungkin tidak lebih dari 5 tahun akan datang.

Justeru itu adalah amat imperatif agar “budding personalities” di peringkat sekolah menengah dari kalangan pelajar-pelajar perempuan yang mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan dikenalpasti dan digarap, dibimbing dan dimotivasikan, khususnya melalui kaedah “mentor-mentee” oleh Pemimpin masa kini. Adalah wajar mereka diberi pendedahan kepada ilmu kepimpinan semenjak di alam pelajar sebagai gelanggang latihan sebelum bergelanggang di arena yang lebih besar. Peranan ini boleh dipikul oleh Persatuan-persatuan Pelajar seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Puteri Islam dan sebagainya khususnya di dalam mengenalpasti dan meningkatkan penglibatan remaja dan belia perempuan Melayu Islam dalam program-program yang boleh membentuk personaliti pemimpin generasi akan datang.

Wanita dan Kewangan

Wanita berkeupayaan sebagai pengurus kewangan yang baik disebabkan sifatnya yang berhati-hati dan teliti (meticulous) dalam perbelanjaan. Dengan mengambil institusi kekeluargaan sebagai kiasan, maka seorang wanita, ibu atau isteri adalah berperanan sebagai menteri kewangan keluarga. Sehubungan itu bukanlah sesuatu yang janggal apabila kerajaan mengiktiraf kesesuaian wanita di dalam memikul peranan tersebut dengan terlantiknya Y.M Tan Sri Dato’ Ungku Dr Zeti Akhtar Aziz Binti Ungku Abdul Aziz selaku Gabenor Wanita yang pertama di Malaysia.

Bagi maksud kesinambungan dan sebagai sokongan ke atas pengiktirafan tersebut, maka secara jelas WANITA meyakini kemampuan di dalam memberi sumbangan yang berkesan dan sekali gus mempengaruhi dan memutuskan dasar kewangan negara.

Kejayaan wanita sebagai ahli ekonomi yang berjaya bukanlah merupakan suatu fenomena baru, bahkan ianya telah terbukti di zaman Rasulullah SAW sendiri; dimana Saydatina Khadijah semasa hayatnya adalah merupakan seorang ahli perniagaan yang disegani, berjaya dan kaya raya. Beliau juga menjadi simbol isteri setia yang sanggup bekorban segala harta benda dan jiwa raga demi menegakkan perjuangan suaminya yang tercinta dalam membela agama Allah.

Contoh semasa yang dapat diketengahkan berkaitan persoalan ini ialah dengan mengarahkan pandangan ke Timur Tengah. Tatkala ekonomi Kuwait merudum disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia, telah lahir sebutir bintang di dunia kewangan dan perbankan Timur Tengah apabila seorang wanita Arab yang bernama Maha Khalid Al- Ghunaim berjaya membawa Kuwait keluar dari kemelut ekonomi dan membuktikan ketokohan berdasarkan aspek kepimpinan, visi dan ketajaman analisa dalam pengurusan ekonomi melalui Institusi Perlaburan Global Kuwait. Dan kini, ketokohan beliau yang hanya berusia 46 tahun telah diiktiraf oleh Majalah Kewangan Antarabangsa Forbes apabila tersenarai sebagai antara seratus wanita paling berkuasa di dunia untuk tempoh 2 tahun berturut-turut.

Kesimpulan

Secara umum, tiada banyak perbezaan yang berpaksikan ‘gender’ di antara wanita dan lelaki di dalam penentuan kegagalan dan kejayaan. Tiada kriteria khusus di dalam menentukan siapa yang lebih baik, melainkan ianya lebih dipengaruhi oleh faktor-faktor peribadi. Namun begitu, sebagai menetapkan hala tuju yang jelas, maka adalah mustahak untuk diwujudkan suatu visi yang nyata, supaya perancangan dan usaha dapat ditumpukan ke suatu arah yang khusus. Matlamat yang dinyatakan di sini bukanlah merupakan sesuatu yang ekslusif, tetapi sebagai memberi gambaran tentang aspirasi WANITA untuk tidak sahaja bertindak sebagai ‘penumpang’, tetapi untuk sama-sama ‘sebahu’ dengan kaum lelaki di arus perdana dan menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara secara lebih efektif dan adil.

Aspirasi yang didasarkan kepada kesesuaian fitrah dan kesedaran tersebut, walaubagaimanapun adalah tertakluk kepada sejauh mana peluang dibuka kepada WANITA untuk membuktikan kemampuan dan kesungguhan mereka di dalam merealisasikan rencana yang disusun. Bukanlah sesuatu yang mustahil dan menongkah arus apakala lahirnya Menteri- Menteri Kewangan dan Pendidikan Wanita Pertama di Malaysia di dalam tempoh terdekat. Cabaran pasti akan datang bertali arus dan bertubi-tubi, namun perjuangan yang diteraju oleh hati seorang pemimpin yang jujur dan penuh keikhlasan adalah merupakan semulia-mulia perjuangan yang akan dibantu Tuhan. InsyaALLAH.

Cik Hjh Nadzifah Binti Maarof
Pen S/U Wanita Kota Raja
Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya
Peguam Syarie Selangor & Wilayah Persekutuan

No comments: