Shahrizat sah lawan Rafidah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang sudah membulatkan tekad untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti bulan depan, menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan bagi menentukan masa depan pergerakan itu.

"Saya terima pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno... saya akan tetap bertarung (untuk merebut jawatan itu).

"Sekarang semuanya terserah kepada perwakilan untuk buat keputusan demi masa depan Wanita Umno... saya pulangkan kepada mereka seluruh amanah, tanggungjawab dan hak untuk menentukan masa depan Wanita Umno.


"Saya mengambil keputusan ini sebagai menghargai kepercayaan dan amanah yang diberikan Wanita Umno kepada saya, (Datuk) Kamilia (Ibrahim) pun sudah menang (tanpa bertanding) Naib Ketua Wanita Umno)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Wanita Umno, di sini semalam.

Sidang akhbar ringkas bagi mengesahkan Kamilia yang juga Exco Wanita, menang tanpa bertanding untuk menggantikan tempatnya sebagai naib ketua pergerakan itu, diadakan sebelum mesyuarat Exco Wanita Umno yang dipengerusikan Tan Sri Rafidah Aziz.

Bagaimanapun, Shahrizat tidak menghadiri mesyuarat berkenaan yang bermula jam 3 petang kerana terpaksa bergegas untuk menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya.

Ditanya mengenai peluangnya merebut jawatan itu, Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri berkata, beliau yakin perwakilan kini berfikiran terbuka dan matang dalam membuat keputusan bagi menentukan apa yang terbaik untuk kepemimpinan parti.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku (pada pemilihan), cuma saya minta supaya semua pihak menjalankan kempen secara berhemah dengan menghormati calon serta perwakilan.

"Saya juga minta, apa pun keputusan selepas perhimpunan agung nanti, seluruh pergerakan wanita dapat merapatkan balik hubungan kerana jika semua ahli menghormati orang lain, silaturahim tidak akan putus," katanya.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas keputusan Shahrizat untuk mencabarnya berkata: "Tiada apa nak komen kerana sekarang semua sudah tahu keputusan beliau untuk bertanding".

"Saya tiada masalah, apatah lagi dengan Naib Ketua (Shahrizat). Tiada masalah dengannya... susahlah kita dalam politik kalau ada hal peribadi kerana saya memang tidak pernah ambil masalah (Shahrizat bertanding).

"Dia (Shahrizat) tidak datang pun hari ini, saya tidak tahu, dia pun tak beritahu. Jawatan bukannya boleh bawa sampai mati, buat apa nak menyusahkan diri berebut jawatan. Kita pun tak tentu sama ada sempat pegang jawatan itu," katanya.

Rafidah berkata, fikirannya kini sudah tertutup untuk membincangkan mengenai pemilihan parti dan minta semua ahli supaya memberi fokus kepada gerak kerja membantu jentera pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, keutamaan baginya kini adalah untuk membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang dijadualkan pada 7 April depan

No comments: